Istiadat Menjunjung Duli Untuk Menerima Gelaran Di Negeri Perak*
Oleh:
Dato Seri Dr. Syed Jaafar Aznan,
SPMP, DPCM, PJN, KMN, Ph.D.
Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.
(3/12/2025).
*Saya telah melakukan Istiadat Menjunjung Duli kali pertama untuk menerima gelaran YDH Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja Perak pada 19/10/2010. (Lihat artikel saya bertarikh 7/12/2013). Artikel ini mengisahkan secara ringkas pengalaman tambahan saya apabila melakukan Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua pada 9/11/2025, untuk menerima gelaran Y.A.Bhg.Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.
Di hadapan Singgahsana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 9/11/2025. Menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat menjunjung duli 2025.
Pada 9 November 2025 saya telah menjalani Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua. Upacara kali ini ialah untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.A.Bhg.Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja, Orang Besar Empat negeri Perak.
Upacara istiadat Menjunjung duli kali ini adalah hampir sama dengan yang saya lakukan kali pertama pada tahun 2010 dahulu. Perbezaan utama ialah bagi kali ini saya juga menerima “baur” atau keris gelaran sebagai tanda pemegang gelaran.
Secara ringkas upacara kali ini berlangsung dari 9/11/2025 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan tamat apabila saya dan keluarga menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri, kali ini di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025.
Saperti dahulu, upacara kali ini juga terbahagi kepada empat, saperti berikut:
Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Istiadat menghadap DYMM Sultan di Balairung Seri.
Meninggalkan istana dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri selepas tempoh bersembunyi dan larangan.
Upacara Sumpah Ciri, di luar istana.
Selepas menunaikan fardhu Subuh di hari istiadat pada 9/11/2025 saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di tangga luar Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.
Di luar kawasan istana, sebelum terbit matahari. Menunggu upacara Sumpah Ciri – 2025.Toh Nara dan pasukan bentara bersedia untuk upacara Sumpah Ciri – 2025.
Bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara dimulakan dengan Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) berdiri atas “anak tangga” di pintu masuk istana. Toh Nara kemudian membaca Surat Nasihat sebelum membaca Surat Ciri.
Dalam kata-kata nasihat Toh Nara memperingati penerima gelaran akan “daulat” Raja -Raja Melayu terdahulu. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah. Penderhakaan kepada Raja boleh membawa “tulah” dan balasan dalam bentuk ditimpa “bisa kawi“.
Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya ialah dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang.
Upacara Sumpah Ciri – Toh Seri Nara DiRaja (berpakaian hitam) berdiri atas “anak tangga” dan membaca Surat Nasihat dan Surat Ciri – 2025.
Upacara Sumpah Ciri selesai sebelum terbit matahari.
Selesai upacara Sumpah Ciri bakal penerima gelaran dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat Menghadap di Balairung Seri.
Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya kali ini sama dengan dahulu, iaitu a “Lang Menyusur Angin“. Pakaian saya kali berwarna hijau tua, iaitu warna yang dikhaskan untuk semua Orang Besar Empat. Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang.
Keris Semenanjung sebagai keris istiadat. Tengkolok dengan ikatan “Lang Menyusur Angin”.
Selepas ditititahkan , saya telah masuk ke Balairung Seri untuk memulakan istiadat yang ditetapkan.
Duduk bertenggul di Balairung Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Mendengar peristiharan kurnian gelaran -2025.
Saya duduk bertenggul dan mengeluarkan keris di pinggang dan meletakkannya di lantai. Selepas Setiausaha Dewan Negara membaca peristiharan resmi kurnian gelaran saya memulakan pergerakan ke singgahsana. Saya di apit oleh Toh Nara dan pergerakan diiringi oleh permainan Nobat diRaja yang diketui oleh Toh Setia Guna. Kali ini Nobat memainkan lagu Nobat “Anak Raja Membasuh Kaki“.
Bergerak menuju singgahsana, diiringi dengan permainan Nobat – 2025.
Permainan Nobat ini berterusan hingga saya meninggalkan Balairung Seri untuk bersembunyi.
Pasukan Nobat DiRaja negeri Perak – 2025.
Di hadapan singgahsana DYMM Sultan telah melakukan beberapa perkara termasuk meletakkan mata Pedang Cura Si Manjakini atas kedua-dua bahu saya, mencucukkan “Pacak Ketor” ke tengkolok, mengurniakan “Baur” atau Keris Gelaran dan merenjis air mawar.
Sentuhan Pedang Cura Si Manjakini atas bahu.Menerima Baur (Keris Gelaran) daripada DYMM Sultan – 2025.
Tamat acara di hadapan singgahsana, saya bergerak secara melangkah kebelakang, kembali ke tempat permulaan istiadat dalam Balairung Seri.
Di tempat permulaan istiadat saya mengangkat sembah dalam kedudukan bertenggul. Seterusnya saya mengambil semula keris yang ditinggalkan di lantai dan menyelitkannya di pinggang.
Saya memulakan gerakan untuk meninggalkan Balairung Seri. Bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula. Saya kemudian di bawa keluar dari kawasan istana.
Kepala di selubung dengan kain supaya tidak melihat keadaan dalam istana. Meninggalkan Balairung Seri untuk bersembunyi -2025.
Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama sekurang-kurangnya tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.
Dalam keadaan berselubung. Di bawa keluar istana untuk bersembunyi – 2025.
Meninggalkan istana,dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh bersembunyi ini saya dilarang melihat wajah DYMM Sultan Perak, termasuk dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv dan internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas tempoh bersembunyi saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri. Istiadat kali ini diadakan di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025. Saya diiringi oleh keluarga.
Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau tua, iaitu warna untuk Orang Besar Empat.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.
Menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri selepas tamat tempoh “bersembunyi”. Upacara diadakan di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025. Menandakan tamat tempoh larangan.17/11/2025 – Di Istana Perak, Kuala Lumpur. Foto keluarga bersama DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Tuanku Raja Permaisuri. Upacara menghadap semula selepas menjunjung duli selesai. Daulat Tuanku.
Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaran Y.A.Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
*Keterangan mengenai Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak ini sekadar menerangkan pengalaman saya semasa menjalani istiadat tersebut pada tahun 2010.
Di hadapan Singgahsana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 19/4/2010 (4/5/1431H). Menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada istiadat menjunjung duli dan perayaan hari keputeraan baginda ke-82.
Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak merupakan adat tradisi kesultanan Raja-Raja Melayu yang diamalkan turun temurun. Ia dilakukan sebagai upacara resmi penganugerahan gelaran kepada bakal-bakal sultan, raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri Perak.
Pada 19 april 2010 saya telah menjalani istiadat Menjunjung Duli untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja. Gelaran ini ini telahpun terdahulu diberikan kepada saya pada tahun 2003.
Saya telah dikurniakan gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja diRaja, Perak berasaskan waris benih mengikut keturunan. Datuk saya Syed Abdul Hamid bin Syed Safi Jamalullail dan datuknya Syed Jaafar bin Syed Yunus Jamalullail merupakan antara pemegang gelaran tersebut di masa lalu.
Secara ringkas upacara istiadat Menjunjung duli yang telah saya lalui boleh dibahagikan kepada empat peringkat:
Upacara Sumpah Ciri, di luar istana
Istiadat di Balairung Seri
Meninggalkan istana dan permulaan tempoh larangan.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi dan larangan.
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu istana.
Di pagi hari istiadat pada 19 Oktober 2010, saya telah bersembahyang subuh di Masjid Ubudiah yang berdekatan dengan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Selepas itu saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di luar pintu Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.
Semua bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara Sumpah Ciri lazimnya selesai sebelum terbit matahari.
Saya berpakaian baju melayu biasa dan bersampin. Bersama dua orang lagi penerima gelaran, kami telah diminta berdiri berbaris di tangga istana. Kami semua berpeluk tubuh dan bertafakur, berpayungkan sepelepah daun pisang yang melambangkan perlindungan rakyat oleh Raja.
Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) kemudian berdiri atas “anak tangga” yang disediakan dan memulakan istiadat Sumpah Ciri dengan membaca Surat Nasihat sebagai permulaan sebelum membaca Surat Ciri. Dalam kata-kata nasihat Toh Nara telah:
Menyebut nama-nama bakal penerima gelaran di hari itu,
Memperingati penerima mengenai pantang-larang yang perlu dipatuhi.
Memperingati penerima akan ‘daulat’ Raja-Raja Melayu terdahulu, dan “tulah” atau bala yang akan menimpa merika yang derhaka.
Peringatan yang diberi oleh Toh Nara itu menerangkan sumpah taat setia oleh penerima gelaran kepada Raja. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah.
Upacara Sumpah Ciri – Toh Seri Nara DiRaja (berpakaian hitam) berdiri atas “anak tangga” dan membaca Surat Nasihat dan Surat Ciri. Di kiri ialah Pawang DiRaja (berpakaian merah).
Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya datang dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang. Surat Ciri asal di tulis dalam bahasa Sanskrit, tetapi sekarang kandungannya ditambah sedikit dengan bahasa-bahasa Melayu lama dan Arab. Bahasanya berbentuk puisi dan memuji kebesaran Raja-Raja Melayu dahulu dari Sultan Muzaffar Shah I hingga ke Raja pemerintah sekarang.
Untuk bacaan lanjut mengenai kandungan Surat Ciri sila lihat W.E.Maxwell, “An Account of the Malay Chiri: A Sanskrit Formula” 1881, (Reprint: Forgotten Books: Hong Kong 2013), dan “The Chiri or Coronation Address” dalam R.O.Winstedt and R.J.Wilkinson, ”A History of Perak”, M.B.R.A.S. (Reprint No.3, 1974) pp.175-176.
Upacara merenjis
Seterusnya, Toh Nara merenjis tepung tawar dan air mawar kepada kesemua bakal penerima gelaran, sebagai tanda tamatnya upacara Sumpah Ciri, iaitu bahagian permulaan dalam Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak.
Semua bakal penerima gelaran kemudian dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat di Balairung Seri.
Tengkolok, dengan ikatan “Lang Menyusur Angin”.
Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki sebuah kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.
Semua penerima gelaran berpakaian penuh istiadat dan berada di luar Balairung Seri, menunggu titah dipanggil menghadap. Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya bernama “Lang Menyusur Angin”. Pakaian saya berwarna hijau muda, iaitu warna yang dikhaskan untuk Toh Muda Orang Besar Empat.
Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang. Mengikut adat Melayu apabila seseorang itu menghhadap Raja, hulu keris yang dibawa mestilah dipusingkan ke tepi sebagai tanda hormat dan bukan dengan niat untuk bertempur. Keris yang saya gunakan ialah dalam bentuk “Keris Semenanjung“. Bilah keris berlok lima dan hulu keris bentuk “Ayam Teleng“. Selain dari itu, semua bintang kebesaran di pakai.
“Keris Semenanjung” sebagai keris istiadat. Bilahnya berlok lima, dan hulunya bentuk “Ayam Teleng”. Keris diikat dengan kain.
Sebentar kemudian terdengar laungan dari bentara “..(nama saya).., titah dipanggil menghadap”.
Masuk ke Balairung Seri
Saya berjalan masuk ke Balairung Seri. Di kiri dan kanan sudah penuh dengan tetamu-tetamu dan orang besar-besar negeri. Di hujung sana kelihatan DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri bersemayam di singgahsana.
Duduk bertenggul di Balairung Seri
(Untuk bacaan lanjut mengenai Nobat negeri Perak sila lihat W.Linehan, “The Nobat and the Orang Kalau of Perak“, J.M.B.R.A.S. Vol.24, No.3 (156) October 1951, pp. 60-66, dan Raja Iskandar bin Raja Halid, “The Royal Nobat of Perak“, UMK Press 2018).
Setiba tempat yang ditetapkan saya telah memulakan istiadat dengan duduk bertenggul (duduk atas kaki kiri sahaja, sementara kedua tapak tangan memegang lutut kaki kanan), dan mengangkat sembah beberapa kali. Toh Nara sudah pun berada di situ dan beliau mengiringi saya dalam pergerakan beradat ke singgahsana dan sehingga tamat upacara.
Dalam kedudukan bertenggul saya mengeluarkan keris istiadat dari pinggang saya dan meletakkannya di sebelah kanan saya. Keris ini ditinggalkan di situ dan akan saya ambil semula setelah tamat pergerakan ke singgahsana.
Seterusnya, saya tunduk bertafakur dan di saat itu Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran. Ini diikuti dengan laungan “Daulat” tiga kali oleh semua tetamu dan orang-orang besar yang hadir.
Tamat laungan “Daulat” maka pergerakan ke singgahsana dimulakan, bermula dengan langkah kanan. Kedua tangan kiri dan kanan diletak di pinggang sebelah kanan.
Kumpulan Nobat negeri PerakPenulis bersama Toh Setia Guna, ketua Kumpulan Nobat Negeri Perak 2019. Semua pemain alat Nobat adalah keturunan Orang Kalur.
Semasa dalam pergerakan Nobat dimainkan mengikut peraturan istiadat dan berterusan hingga tamat istiadat. Pada upacara ini lagu nobat yang dimainkan ialah “Lenggang Che Kobat“.
Pergerakan menuju ke singgahsana, diikuti permainan Nobat dengan lagu “Lenggang Che Kobat”.
Dalam pergerakan menuju ke singgahsana saya berhenti seketika tiga kali untuk upacara intai-intai. Ini dilakukan dengan menjenguk kepala kehadapan dari sebelah kanan, seolah-olah cuba melihat dari jauh wajah Raja yang sedang bersemayam di singgahsana.
Mengesot ke tangga singgahsana.
Apabila hampir tiba di kaki singgahsana, saya memulakan upacara mengesot, iaitu bergerak kehadapan dalam keadaan bertenggul. Pergerakan mengesot ini tamat dalam tiga gerakan sehingga sampai di kaki tangga singgahsana. Pada ketika itu DYMM Sultan turun dari atas singgahsana untuk meneruskan istiadat.
DYMM Sultan melakukan empat perkara:
Mula-mula baginda Sultan menghunus pedang pusaka Raja-Raja Melayu Perak, Pedang Cura Si Manjakini dan meletakkan mata pedang itu ke bahu kanan dan kiri saya.
Kemudian baginda mencucukkan ‘Pacak Ketor’ di sebelah kanan tengkolok saya. Pacak ketor merupakan sekuntum bunga emas yang bertangkai dawai lembut. Bunga emas itu bergoyang (menggeletar) apabila dipacak di tengkolok. Bunga emas itu dinamakan ‘pacak ketor’ dalam loghat bahasa Melayu Perak.
Baginda kemudian merenjis tepung tawar dan bunga mawar sebagai tanda berkenan merestui upacara yang dijalankan.
Kemudian, baginda menganugerahkan watikah resmi gelaran, dan selepas itu kembali naik ke atas singgahsana.
Sentuhan Pedang Cura Si Manjakini di bahu kiri dan kanan‘Pacak Ketor’ dicucuk di tengkolok
‘Pacak Ketor’
Menerima watikah gelaran.
Saya kemudian memulakan pergerakan kembali ke tempat permulaan istiadat, iaitu di mana keris ditinggalkan. Ini bermula dengan mengesot kebelakang tiga gerakan. Kemudian saya berdiri semula dan bersama dengan Toh Nara memulakan pergerakan berjalan secara berundur, bermula dengan kaki kiri.
Dalam pergerakan berundur ini saya berhenti beberapa kali untuk mengangkat sembah. Pergerakan tamat apabila sampai tempat bermula pergerakan, di mana keris di tinggalkan.
Meninggalkan Balairung Seri dalam keadaan berselubung. Tempoh larangan bermula.
Seterusnya upacara meninggalkan Balairung Seri bermula. Saya duduk bertenggul dan mengangkat sembah beberapa kali. Selepas sembah terakhir saya mengambil semula keris yang tadi ditinggalkan atas lantai dan menyelitkannya semula ke pinggang. Kemudian saya memusingkan badan ke kiri dan terus menghadapi pintu Balairung Seri di belakang saya. Di masa itu bentara-bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula.
Meninggalkan istana,dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh larangan ini saya dilarang melihat wajah ataupun gambar DYMM Sultan Perak samada dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv atau internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas bersembunyi selama tujuh hari saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan di istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Kali ini saya diiringi oleh keluarga dan saudara-mara.
Saya membawa persembahan sebanyak tujuh dulang mengandungi pulut kuning, kain persalinan dan lain-lain. Lazimnya seseorang penerima gelaran membawa lima atau tujuh dulang atau lebih, dan kandungannya mengikut kemampuan sendiri.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.
Upacara ini lazimnya dihadiri hanya oleh bilangan tetamu yang kecil, termasuk raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri, dan sebilangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Perak.
Menghadap semula selepas tamat tempoh bersembunyi. Membawa persembahan.
Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau muda, iaitu warna untuk Toh Muda Orang Besar Empat.
Tepung tawar dan air mawar direnjis. Tamat istiadat Menjunjung Duli.
Di akhir upacara DYMM Sultan merenjis tepung tawar dan air mawar.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaranY.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak yang telah dilakukan beratus tahun melambangkan kekayaan tradisi Raja-Raja Melayu. Istiadat ini juga dilakukan di beberapa negeri Melayu di Nusantara, selain dari negeri Perak. Surat Ciri, Pedang Cura Si Manjakini dan Nobat adalah warisan kesultanan Raja-Raja Melayu negeri Perak dari zaman dahulu.
Saya berharap perihal adat di atas akan mencetus minat di kalangan generasi muda sekarang untuk mengetahui sedikit-sebanyak kekayaan warisan budaya negeri Perak.