Istiadat Menjunjung Duli Di Negeri Perak*
Oleh:
Dato Dr. Syed Jaafar Aznan, D.P.C.M.,K.M.N.,Ph.D.
Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja
7/12/2013 (ed. 22/11/2025).
*Keterangan mengenai Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak ini sekadar menerangkan pengalaman saya semasa menjalani istiadat tersebut pada tahun 2010.

Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak merupakan adat tradisi kesultanan Raja-Raja Melayu yang diamalkan turun temurun. Ia dilakukan sebagai upacara resmi penganugerahan gelaran kepada bakal-bakal sultan, raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri Perak.
Pada 19 april 2010 saya telah menjalani istiadat Menjunjung Duli untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja. Gelaran ini ini telahpun terdahulu diberikan kepada saya pada tahun 2003.
Saya telah dikurniakan gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja diRaja, Perak berasaskan waris benih mengikut keturunan. Datuk saya Syed Abdul Hamid bin Syed Safi Jamalullail dan datuknya Syed Jaafar bin Syed Yunus Jamalullail merupakan antara pemegang gelaran tersebut di masa lalu.
Secara ringkas upacara istiadat Menjunjung duli yang telah saya lalui boleh dibahagikan kepada empat peringkat:
- Upacara Sumpah Ciri, di luar istana
- Istiadat di Balairung Seri
- Meninggalkan istana dan permulaan tempoh larangan.
- Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi dan larangan.


Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu istana.
Di pagi hari istiadat pada 19 Oktober 2010, saya telah bersembahyang subuh di Masjid Ubudiah yang berdekatan dengan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Selepas itu saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di luar pintu Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.
Semua bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara Sumpah Ciri lazimnya selesai sebelum terbit matahari.
Saya berpakaian baju melayu biasa dan bersampin. Bersama dua orang lagi penerima gelaran, kami telah diminta berdiri berbaris di tangga istana. Kami semua berpeluk tubuh dan bertafakur, berpayungkan sepelepah daun pisang yang melambangkan perlindungan rakyat oleh Raja.
Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) kemudian berdiri atas “anak tangga” yang disediakan dan memulakan istiadat Sumpah Ciri dengan membaca Surat Nasihat sebagai permulaan sebelum membaca Surat Ciri. Dalam kata-kata nasihat Toh Nara telah:
- Menyebut nama-nama bakal penerima gelaran di hari itu,
- Memperingati penerima mengenai pantang-larang yang perlu dipatuhi.
- Memperingati penerima akan ‘daulat’ Raja-Raja Melayu terdahulu, dan “tulah” atau bala yang akan menimpa merika yang derhaka.
Peringatan yang diberi oleh Toh Nara itu menerangkan sumpah taat setia oleh penerima gelaran kepada Raja. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah.

Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya datang dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang. Surat Ciri asal di tulis dalam bahasa Sanskrit, tetapi sekarang kandungannya ditambah sedikit dengan bahasa-bahasa Melayu lama dan Arab. Bahasanya berbentuk puisi dan memuji kebesaran Raja-Raja Melayu dahulu dari Sultan Muzaffar Shah I hingga ke Raja pemerintah sekarang.
Untuk bacaan lanjut mengenai kandungan Surat Ciri sila lihat W.E.Maxwell, “An Account of the Malay Chiri: A Sanskrit Formula” 1881, (Reprint: Forgotten Books: Hong Kong 2013), dan “The Chiri or Coronation Address” dalam R.O.Winstedt and R.J.Wilkinson, ”A History of Perak”, M.B.R.A.S. (Reprint No.3, 1974) pp.175-176.

Seterusnya, Toh Nara merenjis tepung tawar dan air mawar kepada kesemua bakal penerima gelaran, sebagai tanda tamatnya upacara Sumpah Ciri, iaitu bahagian permulaan dalam Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak.
Semua bakal penerima gelaran kemudian dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat di Balairung Seri.

Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki sebuah kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.
Semua penerima gelaran berpakaian penuh istiadat dan berada di luar Balairung Seri, menunggu titah dipanggil menghadap. Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya bernama “Lang Menyusur Angin”. Pakaian saya berwarna hijau muda, iaitu warna yang dikhaskan untuk Toh Muda Orang Besar Empat.
Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang. Mengikut adat Melayu apabila seseorang itu menghhadap Raja, hulu keris yang dibawa mestilah dipusingkan ke tepi sebagai tanda hormat dan bukan dengan niat untuk bertempur. Keris yang saya gunakan ialah dalam bentuk “Keris Semenanjung“. Bilah keris berlok lima dan hulu keris bentuk “Ayam Teleng“. Selain dari itu, semua bintang kebesaran di pakai.

Sebentar kemudian terdengar laungan dari bentara “..(nama saya).., titah dipanggil menghadap”.

Saya berjalan masuk ke Balairung Seri. Di kiri dan kanan sudah penuh dengan tetamu-tetamu dan orang besar-besar negeri. Di hujung sana kelihatan DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri bersemayam di singgahsana.

(Untuk bacaan lanjut mengenai Nobat negeri Perak sila lihat W.Linehan, “The Nobat and the Orang Kalau of Perak“, J.M.B.R.A.S. Vol.24, No.3 (156) October 1951, pp. 60-66, dan Raja Iskandar bin Raja Halid, “The Royal Nobat of Perak“, UMK Press 2018).
Setiba tempat yang ditetapkan saya telah memulakan istiadat dengan duduk bertenggul (duduk atas kaki kiri sahaja, sementara kedua tapak tangan memegang lutut kaki kanan), dan mengangkat sembah beberapa kali. Toh Nara sudah pun berada di situ dan beliau mengiringi saya dalam pergerakan beradat ke singgahsana dan sehingga tamat upacara.
Dalam kedudukan bertenggul saya mengeluarkan keris istiadat dari pinggang saya dan meletakkannya di sebelah kanan saya. Keris ini ditinggalkan di situ dan akan saya ambil semula setelah tamat pergerakan ke singgahsana.
Seterusnya, saya tunduk bertafakur dan di saat itu Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran. Ini diikuti dengan laungan “Daulat” tiga kali oleh semua tetamu dan orang-orang besar yang hadir.
Tamat laungan “Daulat” maka pergerakan ke singgahsana dimulakan, bermula dengan langkah kanan. Kedua tangan kiri dan kanan diletak di pinggang sebelah kanan.


Semasa dalam pergerakan Nobat dimainkan mengikut peraturan istiadat dan berterusan hingga tamat istiadat. Pada upacara ini lagu nobat yang dimainkan ialah “Lenggang Che Kobat“.

Dalam pergerakan menuju ke singgahsana saya berhenti seketika tiga kali untuk upacara intai-intai. Ini dilakukan dengan menjenguk kepala kehadapan dari sebelah kanan, seolah-olah cuba melihat dari jauh wajah Raja yang sedang bersemayam di singgahsana.

Apabila hampir tiba di kaki singgahsana, saya memulakan upacara mengesot, iaitu bergerak kehadapan dalam keadaan bertenggul. Pergerakan mengesot ini tamat dalam tiga gerakan sehingga sampai di kaki tangga singgahsana. Pada ketika itu DYMM Sultan turun dari atas singgahsana untuk meneruskan istiadat.
DYMM Sultan melakukan empat perkara:
- Mula-mula baginda Sultan menghunus pedang pusaka Raja-Raja Melayu Perak, Pedang Cura Si Manjakini dan meletakkan mata pedang itu ke bahu kanan dan kiri saya.
- Kemudian baginda mencucukkan ‘Pacak Ketor’ di sebelah kanan tengkolok saya. Pacak ketor merupakan sekuntum bunga emas yang bertangkai dawai lembut. Bunga emas itu bergoyang (menggeletar) apabila dipacak di tengkolok. Bunga emas itu dinamakan ‘pacak ketor’ dalam loghat bahasa Melayu Perak.
- Baginda kemudian merenjis tepung tawar dan bunga mawar sebagai tanda berkenan merestui upacara yang dijalankan.
- Kemudian, baginda menganugerahkan watikah resmi gelaran, dan selepas itu kembali naik ke atas singgahsana.




Saya kemudian memulakan pergerakan kembali ke tempat permulaan istiadat, iaitu di mana keris ditinggalkan. Ini bermula dengan mengesot kebelakang tiga gerakan. Kemudian saya berdiri semula dan bersama dengan Toh Nara memulakan pergerakan berjalan secara berundur, bermula dengan kaki kiri.
Dalam pergerakan berundur ini saya berhenti beberapa kali untuk mengangkat sembah. Pergerakan tamat apabila sampai tempat bermula pergerakan, di mana keris di tinggalkan.

Seterusnya upacara meninggalkan Balairung Seri bermula. Saya duduk bertenggul dan mengangkat sembah beberapa kali. Selepas sembah terakhir saya mengambil semula keris yang tadi ditinggalkan atas lantai dan menyelitkannya semula ke pinggang. Kemudian saya memusingkan badan ke kiri dan terus menghadapi pintu Balairung Seri di belakang saya. Di masa itu bentara-bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula.
Meninggalkan istana, dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh larangan ini saya dilarang melihat wajah ataupun gambar DYMM Sultan Perak samada dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv atau internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas bersembunyi selama tujuh hari saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan di istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Kali ini saya diiringi oleh keluarga dan saudara-mara.
Saya membawa persembahan sebanyak tujuh dulang mengandungi pulut kuning, kain persalinan dan lain-lain. Lazimnya seseorang penerima gelaran membawa lima atau tujuh dulang atau lebih, dan kandungannya mengikut kemampuan sendiri.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.
Upacara ini lazimnya dihadiri hanya oleh bilangan tetamu yang kecil, termasuk raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri, dan sebilangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Perak.

Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau muda, iaitu warna untuk Toh Muda Orang Besar Empat.

Di akhir upacara DYMM Sultan merenjis tepung tawar dan air mawar.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak yang telah dilakukan beratus tahun melambangkan kekayaan tradisi Raja-Raja Melayu. Istiadat ini juga dilakukan di beberapa negeri Melayu di Nusantara, selain dari negeri Perak. Surat Ciri, Pedang Cura Si Manjakini dan Nobat adalah warisan kesultanan Raja-Raja Melayu negeri Perak dari zaman dahulu.
Saya berharap perihal adat di atas akan mencetus minat di kalangan generasi muda sekarang untuk mengetahui sedikit-sebanyak kekayaan warisan budaya negeri Perak.
(Ditulis di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2013).