Nama saya Syed Jaafar Aznan. Saya adalah generasi ke 15 keluarga Jamalullail di negeri Perak, dikira dari Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail yang datang ke Perak pada awal abad 16 M.
Salasilah penuh saya adalah seperti berikut.
Salasilah Syed Jaafar Aznan
“Syed Jaafar (15) bin Syed Aznan (14) bin Syed Abdul Hamid(13) bin Syed Safi (12) bin Syed Jaafar (11) bin Syed Yunus (10) bin Syed Mekah (9) bin Syed Usman(8) bin Syed Ajmadin (7) bin Syed Abu Bakar (6) bin Syed Jalaluddin [Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang] (5) bin Syed Abdul Majid (4) bin Syed Abu Bakar (3) bin Syed Hasan (2), bin Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail [Penasihat Agama kepada Sultan Muzaffar Shah I](1)”.
Saya dilahirkan di rumah nombor 22, Low Road, Parit Buntar, Perak pada 1947. Bapa saya dilahirkan di Taiping, Perak dan datuk saya dilahirkan di Teja, Kota Bharu, Perak.
Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Bagan Serai, Perak mulai tahun 1953, dan kemudian memasuki beberapa sekolah Inggeris di negeri Perak hingga tahun 1966. Pada tahun 1967 saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan tamat pengajian pada tahun 1970.
Saya mula berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan pada 1970 dan ditempatkan di beberapa jabatan kerajaan.
Kini saya sudah bersara dari perkhidmatan kerajaan penuh masa.
Saya tidak pernah menjadi ahli dalam mana-mana pertubuhan politik di Malaysia.
Blog Ini.
Blog ini bertujuan untuk menceritakan kisah dan sejarah keturunan Syed(Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di negeri Perak sejak abad 16 M untuk pengetahuan keluarga Jamalullail generasi semasa dan akan datang. Ia juga bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara semua ahli keluarga besar Jamalullail di negeri Perak, insya Allah.
Hikayat Misa Melayu (Yayasan Karyawan, 2015) merupakan sebuah karya agung sastera dan sejarah melayu karangan Raja Chulan bin Raja Hamid (mati c. 1786-1806). Ia ditulis selepas zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah), sultan Perak ke 15 yang memerintah Negeri Perak pada 1750 – 1765).
Sebagai bahan sejarah ia merupakan dokumen tertua mengenai sejarah awal negeri Perak. Ia juga merupakan dokumen tertua yang mengisahkan kedudukan keluarga ahl al bayt Jamalullail di negeri Perak.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat xlii.
Hikayat Misa Melayu mengisahkan sejarah kesultanan Perak dari zaman sultan Perak ke 10, Sultan Muzaffar Shah II (Marhum Jalilullah) 1636 – 1653, hingga ke zaman sultan Perak ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah) 1750-1765.
Zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain Shah ini dianggap sebagai zaman gemilang kesultanan Melayu Perak dari segi adat-istiadatnya dan kemakmuran rakyatnya.
Mengikut pendapat utama ahli-ahli sejarah Hikayat Misa Melayu ini asalnya di tulis pada tahun 1784M (1202H) dan telah disalin semula beberapa kali kemudian.
Makam Syed Jalaluddin bin Syed Abdul Majid, Tok Tambak Keramat di Pulau Pisang.
Di zaman gemilang kesultanan Melayu Perak inilah wujudnya seorang tokoh Jamalullail Perak dan anak-anaknya yang menjadi kebanggaan seluruh keturunan Jamalullail Perak di masa ini. Beliau ialah Syed Jalaluddin bin Syed Abdul Majid (fl. awal 1700) atau lebih dikenali selepas matinya sebagai Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang. Beliau mati pada awal abad 18 M dan semasa hidupnya berkhidmat sebagai ulama tersohor di zaman Sultan Mahmud Iskandar Shah (Marhum Besar Aulia Allah, 1653 – 1720). Syed Jalaluddin (Tok Tambak) mempunyai dua belas anak, lapan lelaki dan empat perempuan.
Beberapa orang dari anak lelaki Tok Tambak berkedudukan tinggi dalam kesultanan negeri Perak, dari zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah III (Marhum Haji Allah), 1728 – 1744 hingga ke zaman Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah (Marhum Kaharullah), 1750-1765. Nama-nama merika tercatat dalam Hikayat Misa Melayu yang ditulis pada tahun 1784.
Di bawah ini diperturunkan secara ringkas beberapa petikan dari naskah Hikayat Misa Melayu (cetakan 2015) yang menyebut nama-nama merika.*
Sharif (Syed) Abu Bakar.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 30.
Mengikut cerita lisan keluarga Jamalullail Perak, Sharif (Syed) Abu Bakar bin Syed Jalaluddin (fl. 1750) ialah anak sulung kepada Syed Jalaluddin, dan beliau pernah memegang jawatan Bendahara dan kemudian Menteri dari zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah III hingga ke zaman Sultan Iskandar Zulkarnain Shah. Beliau mati dalam lingkungan tahun 1760 dan makamnya terletak di Bota, Parit.
Syed Abu Bakar mempunyai 11 orang anak, lapan lelaki dan tiga perempuan. Seorang dari anaknya Syed Shamsuddin menjadi menteri di Chegar Galah. Seorang lagi anak lelakinya ialah Syed Ajmadin yang anaknya Syed Othman pula menjadi menteri di Pauh Lima dalam abad 19.
Makam Syed Abu Bakar (Bendahara dan Menteri) di Bota, Parit (Mati c. 1760).
Sharif (Syed) Husain.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 11.Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 37.
Sharif (Syed) Husain bin Syed Jalaluddin beristerikan Raja Long Besar dari keluarga Sultan Muhammad Shah (Marhum Aminullah). Beliau dilantik sebagai Orang Kaya Menteri bertempat di Beruas. Beliau ialah ulama yang ditugaskan oleh Sultan Muzafar Shah III (Marhum Haji Allah) untuk menikahkan anak baginda Raja Budak Rasul dengan Raja Muda Iskandar. Dalam Hikayat Misa Melayu (2015:11) beliau disebut sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Orang Kaya Menteri Seri Paduka Tuan.
Raja Sharif (Syed Hasan).
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 126.
Di mukasurat 126 dalam buku tersebut ada tercatat gelaran “Raja Sharif”. Mengikut cerita lisan keluarga Jamalullail beliau ialah Syed Hasan bin Syed Jalaluddin yang berkahwin dengan Raja Shah Alam, adinda kepada Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah). Dari pasangan ini lahirlah Raja Sharif (Syed) Bisnu yang terkemudian bergelar Sultan Muda Sharif (Syed) Alauddin.
Sharif (Syed) Hashim Jamali.
Juga disebut dalam Hikayat Misa Melayu (2015) ialah nama Sharif (Syed) Hashim Jamali, seorang lagi anak kepada Syed Jalaluddin. Perkataan “Jamali” pada nama beliau merujuk kepada nama kabilah “Jamalullail” dalam sebutan tempatan di masa itu.
Abad 17 dan 18 merupakan zaman gemilang kesultanan Perak. Kemakmuran negeri Perak pada masa itu menarik banyak pedagang dan pengembara berkunjung ke negeri itu. Kedudukan tinggi anak-anak Syed Jalaluddin Jamalullail (Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang) sebagai Orang Besar-Besar negeri Perak di abad 18 juga menjadi tarikan kepada para ‘syed’ lain dari luar negeri untuk singgah di Perak dalam perjalanan merika di Tanah Melayu.
Catatan diatas mengenai anak-anak Tok Tambak berasaskan petikan dari buku Hikayat Misa Melayu (2015). Ia merupakan sumber sejarah mengenai kedudukan Jamalullail Perak di abad 18 M dahulu.
*Dalam Hikayat Misa Melayu dan juga mengikut kelaziman di Perak pada zaman dahulu gelaran ‘Sharif’ digunakan bagi keluarga Jamalullail yang mempunyai hubungan rapat dengan istana di Perak. Bagi ahl al bayt lain gelaran ‘Sayyid / Syed’ digunakan. Di masa sekarang gelaran ‘Syed’ digunakan sebagai kelaziman di Perak.
MAKAM SYED (SHARIF) HUSAIN AL FARADZ JAMALULLAIL DI PERAK.
Oleh: Syed Jaafar Aznan
8/10/2021
Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail, seorang ulama dan ilmuwan, diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan sultan perak pertama, Sultan Muzzafar Shah I yang memerintah pada 1528 – 1549 M. Beliau berkhidmat sebagai Penasihat Agama kepada Sultan Muzzafar Shah I dan juga sebagai Orang Kaya Menteri pertama di negeri Perak. Syed Husain mati pada lingkungan tahun 1580 M di zaman pemerintahan sultan Perak ke 3, Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( 1577 – 1584 M). Beliau dimakamkan di Perak.
Di mana lokasi makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail?
Ada dua pendapat atas perkara ini:
1) Di Teluk Bakung, Parit, Perak
2) Di Kuala Teja, Kampar, Perak.
1) Makam di Teluk Bakung, Perak.
Cabutan dari laporan Dato Setia Bijaya Jeragan Abdul Shukor (JSBRAS, June 1907)
Empat pasang nesan dalam Makam diRaja Teluk Bakung, Parit, Perak. Nesan No.3 dari kanan kepunyaan Syed (Sharif) Husain guru kepada Sultan Muzaffar Shah I, Perak. Nesan Sultan Muzaffar Shah I bertanda No.2 dalam gambar.Nesan no. 3 – Batu nesan kepala Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Teluk Bakung, Parit. Bentuk nesan Aceh ini tergulung dalam nesan Aceh abad ke 16 M.
Mengikut laporan Dato Setia Bijaya Jeragan Abdul Shukor (JSBRAS, June 1907) makam sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I ialah di Tanah Abang, Teluk Bakung, Perak. Makam baginda (No. 2 dalam gambar) terletak dalam satu kawasan berdinding mengandungi empat makam. Di sebelah kanan (No. 1) ialah makam anak perempuan baginda dan di kiri (No. 3 dan 4) ialah makam-makam guru (Syed Husain) dan isteri baginda.
Jeragan Abdul Shukor dalam laporannya bertarikh 1907 menyatakan kesemua empat pasang nesan ialah dari jenis nesan Acheh. Tidak ada nama dicatat atas mana-mana nesan tersebut.
Makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Teluk Bakung itu memberi kedudukan yang tinggi kepada beliau kerana ia terletak dalam kawasan makam diraja keluarga Sultan Muzaffar Shah I. Dari cerita lisan penduduk tempatan di kawasan itu Syed (Sharif) Husain diberi penghormatan tersebut kerana hubungan rapat beliau semasa hayatnya dengan keluarga Sultan Muzzafar Shah I.
2) Makam di Kuala Teja, Perak.
Makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Kuala Teja, Kota Bharu, dalam mukim Kampar, Perak. Makam ini terletak di satu kawasan yang hampir merupakan se buah pulau di tepi tasik. Makam ini di tanah kepunyaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak.
Rimbunan hijau semulajadi melindungi makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dari kesan hakisan air tasik.
Papan tanda makam Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail di Kuala Teja, Kota Bharu, Perak.
Mengikut keluarga Jamalullail yang telah tinggal di kawasan Teja dan sekelilingnya sejak beratus tahun lalu, makam allahyarham terletak di Kuala Teja, Kota Bharu, dalam mukim Kampar, Perak. Teja dan kawasan sekelilingnya merupakan antara perkampungan yang tua di negeri Perak. Di sinilah antara tempat di mana ramai pembesar negeri Perak, terutama dari keluarga Jamalullail tinggal dari zaman pembukaan negeri Perak di awal abad 16 M.
Dalam sejarahnya makam tersebut telah terselamat apabila kapal korek bijih (tin dredge) yang beroperasi di situ di awal abad ke-20, hampir satu abad yang lalu terpaksa memberhentikan operasinya di hadapan kawasan makam. Itulah sebabnya lokasi makam itu hampir merupakan sebuah pulau dengan sebahagian besar dikelilingi dengan tasik perlombongan. Sekarang rimbunan pohon dan belukar yang tumbuh di sekeliling makam tersebut memberi perlindungan semulajadi daripada hakisan tanah akibat air tasik.
Lokasi makam ini menimbulkan persoalan mengapa ia jauh dari Sungai Perak dan dari pusat pemerintahan sultan di zaman dahulu?
Pencerahan atas persoalan ini boleh dilihat dalam konteks berikut:
Sultan Muzaffar Shah I memerintah Perak 1528 – 1549. Baginda melantik orang besar-besar negeri mengikut sistem kerajaan Melaka. Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dilantik sebagai Orang Kaya Menteri pertama negeri Perak dalam kerajaan baginda.
Apabila Sultan Muzaffar Shah I mangkat pada 1549, lantikan Syed Husain sebagai Orang Kaya Menteri tamat tempohnya. Mungkin jawatan itu tidak diisi semula serta-merta oleh Sultan Mansur dan lantikan baru hanya dibuat di zaman sultan-sultan terkemudian. Penamatan lantikan dan lantikan baru orang besar-besar negeri di Perak berikutan pertukaran sultan di zaman dahulu adalah satu perkara biasa.
Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1549, Syed (Sharif) Husain tidak lagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran negeri walaupun terus memainkan peranan sebagai pendakwah dan guru agama. Dalam keadaan itu beliau tidak perlu lagi sentiasa berada di sekeliling istana, dan telah berhijrah ke mukim lain untuk meneruskan dakwahnya. Ini membawa beliau ke kawasan Teja yang mana terkemudian menjadi perkampungan besar keluarga Jamalullail di zaman dahulu. Dalam keadaan ini memang mungkin sekali beliau mati di Teja dan dikebumikan di situ.
Perbandingan Antara Dua Lokasi Makam.
Kedua-dua makam Syed (Sharif) Husain di Teluk Bakung dan di Kuala Teja itu tidak mempunyai batu nesan bernama dan bertarikh. Nesan di Kuala Teja itu hanyalah batu-batu sungai yang merupakan nesan gantian yang baharu, dan tidaklah diketahui apakah jenis nesan yang terdahulu darinya dan bila ia asalnya di tanam. Begitu juga nesan Acheh di Teluk Bakung itu tidak diketahui bila sebenarnya ia ditanam di makam diraja itu memandangkan Syed (Sharif) Husain mati pada lingkungan 1580, lama selepas Sultan Muzzafar Shah I yang mangkat pada 1549. Nesan Acheh di Teluk Bakung itu dianggarkan di tanam pada akhir abad 16 M atau awal abad 17 M dan berkemungkinan lebih tua dari nesan batu sungai di Kuala Teja. Walaubagaimanapun, dalam membuat bandingan antara kedua makam tersebut adalah sukar menentukan makam yang mana lebih sahih.
Kedua-dua makam tersebut boleh dianggap hanya sebagai ‘makam’ dalam ertikata tanda penghormatan dan tempat Syed Husain pernah singgah semasa hidupnya, dan tidak semestinya ‘kubur’ yang mesti mengandungi jasad yang dikebumikan di situ. Kemungkinan besar makam-makam ini dibina lama selepas kematian Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail pada tahun 1580M, sebagai satu pengiktirafan yang beliau pernah bermukim di tempat itu.
Penutup.
Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail, Orang Kaya Menteri dan Penasihat Agama kepada Sultan Muzzafar Shah I mati di Perak pada 1580 M dan dikebumikan di Perak.
Kedua-dua makam di Teluk Bakung, Parit, dan di Tebing Tinggi, Kuala Teja, Kampar adalah bukti yang Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail pernah bermastautin di negeri Perak. Ia juga merupakan pengiktirafan kedudukan beliau sebagai ahl al-bait yang terkemuka di zaman awal negeri Perak.
Saya berharap pengkaji sejarah awal negeri Perak, dan juga keturunan keluarga besar Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dapat meneliti perkara ini dengan lebih terperinci.