
Istiadat Menjunjung Duli Untuk Menerima Gelaran Di Negeri Perak*
Oleh:
Dato Seri Dr. Syed Jaafar Aznan,
SPMP, DPCM, PJN, KMN, Ph.D.
Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.
(3/12/2025).
*Saya telah melakukan Istiadat Menjunjung Duli kali pertama untuk menerima gelaran YDH Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja Perak pada 19/10/2010. (Lihat artikel saya bertarikh 7/12/2013). Artikel ini mengisahkan secara ringkas pengalaman tambahan saya apabila melakukan Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua pada 9/11/2025, untuk menerima gelaran Y.A.Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.

Pada 9 November 2025 saya telah menjalani Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua. Upacara kali ini ialah untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.A.Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja, Orang Besar Empat negeri Perak.
Upacara istiadat Menjunjung duli kali ini adalah hampir sama dengan yang saya lakukan kali pertama pada tahun 2010 dahulu. Perbezaan utama ialah bagi kali ini saya juga menerima “baur” atau keris gelaran sebagai tanda pemegang gelaran.
Secara ringkas upacara kali ini berlangsung dari 9/11/2025 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan tamat apabila saya dan keluarga menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri, kali ini di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025.
Saperti dahulu, upacara kali ini juga terbahagi kepada empat, saperti berikut:
- Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
- Istiadat menghadap DYMM Sultan di Balairung Seri.
- Meninggalkan istana dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
- Menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri selepas tempoh bersembunyi dan larangan.
Upacara Sumpah Ciri, di luar istana.
Selepas menunaikan fardhu Subuh di hari istiadat pada 9/11/2025 saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di tangga luar Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.


Bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara dimulakan dengan Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) berdiri atas “anak tangga” di pintu masuk istana. Toh Nara kemudian membaca Surat Nasihat sebelum membaca Surat Ciri.
Dalam kata-kata nasihat Toh Nara memperingati penerima gelaran akan “daulat” Raja -Raja Melayu terdahulu. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah. Penderhakaan kepada Raja boleh membawa “tulah” dan balasan dalam bentuk ditimpa “bisa kawi“.
Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya ialah dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang.

Upacara Sumpah Ciri selesai sebelum terbit matahari.
Selesai upacara Sumpah Ciri bakal penerima gelaran dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat Menghadap di Balairung Seri.
Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya kali ini sama dengan dahulu, iaitu a “Lang Menyusur Angin“. Pakaian saya kali berwarna hijau tua, iaitu warna yang dikhaskan untuk semua Orang Besar Empat. Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang.


Selepas ditititahkan , saya telah masuk ke Balairung Seri untuk memulakan istiadat yang ditetapkan.

Saya duduk bertenggul dan mengeluarkan keris di pinggang dan meletakkannya di lantai. Selepas Setiausaha Dewan Negara membaca peristiharan resmi kurnian gelaran saya memulakan pergerakan ke singgahsana. Saya di apit oleh Toh Nara dan pergerakan diiringi oleh permainan Nobat diRaja yang diketui oleh Toh Setia Guna. Kali ini Nobat memainkan lagu Nobat “Anak Raja Membasuh Kaki“.

Permainan Nobat ini berterusan hingga saya meninggalkan Balairung Seri untuk bersembunyi.

Di hadapan singgahsana DYMM Sultan telah melakukan beberapa perkara termasuk meletakkan mata Pedang Cura Si Manjakini atas kedua-dua bahu saya, mencucukkan “Pacak Ketor” ke tengkolok, mengurniakan “Baur” atau Keris Gelaran dan merenjis air mawar.


Tamat acara di hadapan singgahsana, saya bergerak secara melangkah kebelakang, kembali ke tempat permulaan istiadat dalam Balairung Seri.

Di tempat permulaan istiadat saya mengangkat sembah dalam kedudukan bertenggul. Seterusnya saya mengambil semula keris yang ditinggalkan di lantai dan menyelitkannya di pinggang.
Saya memulakan gerakan untuk meninggalkan Balairung Seri. Bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula. Saya kemudian di bawa keluar dari kawasan istana.

Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama sekurang-kurangnya tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.

Meninggalkan istana, dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh bersembunyi ini saya dilarang melihat wajah DYMM Sultan Perak, termasuk dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv dan internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas tempoh bersembunyi saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri. Istiadat kali ini diadakan di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025. Saya diiringi oleh keluarga.
Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau tua, iaitu warna untuk Orang Besar Empat.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.


Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaran Y.A.Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
(Ditulis di Kuala Lumpur pada 3 Disember 2025).