Istiadat Menjunjung Duli Untuk Menerima Gelaran Di Negeri Perak*
Oleh:
Dato Seri Dr. Syed Jaafar Aznan,
SPMP, DPCM, PJN, KMN, Ph.D.
Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.
(3/12/2025).
*Saya telah melakukan Istiadat Menjunjung Duli kali pertama untuk menerima gelaran YDH Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja Perak pada 19/10/2010. (Lihat artikel saya bertarikh 7/12/2013). Artikel ini mengisahkan secara ringkas pengalaman tambahan saya apabila melakukan Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua pada 9/11/2025, untuk menerima gelaran Y.A.Bhg.Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja (Orang Besar Empat) Perak.
Di hadapan Singgahsana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 9/11/2025. Menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat menjunjung duli 2025.
Pada 9 November 2025 saya telah menjalani Istiadat Menjunjung Duli bagi kali kedua. Upacara kali ini ialah untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.A.Bhg.Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja, Orang Besar Empat negeri Perak.
Upacara istiadat Menjunjung duli kali ini adalah hampir sama dengan yang saya lakukan kali pertama pada tahun 2010 dahulu. Perbezaan utama ialah bagi kali ini saya juga menerima “baur” atau keris gelaran sebagai tanda pemegang gelaran.
Secara ringkas upacara kali ini berlangsung dari 9/11/2025 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan tamat apabila saya dan keluarga menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri, kali ini di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025.
Saperti dahulu, upacara kali ini juga terbahagi kepada empat, saperti berikut:
Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Istiadat menghadap DYMM Sultan di Balairung Seri.
Meninggalkan istana dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri selepas tempoh bersembunyi dan larangan.
Upacara Sumpah Ciri, di luar istana.
Selepas menunaikan fardhu Subuh di hari istiadat pada 9/11/2025 saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di tangga luar Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.
Di luar kawasan istana, sebelum terbit matahari. Menunggu upacara Sumpah Ciri – 2025.Toh Nara dan pasukan bentara bersedia untuk upacara Sumpah Ciri – 2025.
Bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara dimulakan dengan Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) berdiri atas “anak tangga” di pintu masuk istana. Toh Nara kemudian membaca Surat Nasihat sebelum membaca Surat Ciri.
Dalam kata-kata nasihat Toh Nara memperingati penerima gelaran akan “daulat” Raja -Raja Melayu terdahulu. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah. Penderhakaan kepada Raja boleh membawa “tulah” dan balasan dalam bentuk ditimpa “bisa kawi“.
Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya ialah dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang.
Upacara Sumpah Ciri – Toh Seri Nara DiRaja (berpakaian hitam) berdiri atas “anak tangga” dan membaca Surat Nasihat dan Surat Ciri – 2025.
Upacara Sumpah Ciri selesai sebelum terbit matahari.
Selesai upacara Sumpah Ciri bakal penerima gelaran dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat Menghadap di Balairung Seri.
Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya kali ini sama dengan dahulu, iaitu a “Lang Menyusur Angin“. Pakaian saya kali berwarna hijau tua, iaitu warna yang dikhaskan untuk semua Orang Besar Empat. Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang.
Keris Semenanjung sebagai keris istiadat. Tengkolok dengan ikatan “Lang Menyusur Angin”.
Selepas ditititahkan , saya telah masuk ke Balairung Seri untuk memulakan istiadat yang ditetapkan.
Duduk bertenggul di Balairung Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Mendengar peristiharan kurnian gelaran -2025.
Saya duduk bertenggul dan mengeluarkan keris di pinggang dan meletakkannya di lantai. Selepas Setiausaha Dewan Negara membaca peristiharan resmi kurnian gelaran saya memulakan pergerakan ke singgahsana. Saya di apit oleh Toh Nara dan pergerakan diiringi oleh permainan Nobat diRaja yang diketui oleh Toh Setia Guna. Kali ini Nobat memainkan lagu Nobat “Anak Raja Membasuh Kaki“.
Bergerak menuju singgahsana, diiringi dengan permainan Nobat – 2025.
Permainan Nobat ini berterusan hingga saya meninggalkan Balairung Seri untuk bersembunyi.
Pasukan Nobat DiRaja negeri Perak – 2025.
Di hadapan singgahsana DYMM Sultan telah melakukan beberapa perkara termasuk meletakkan mata Pedang Cura Si Manjakini atas kedua-dua bahu saya, mencucukkan “Pacak Ketor” ke tengkolok, mengurniakan “Baur” atau Keris Gelaran dan merenjis air mawar.
Sentuhan Pedang Cura Si Manjakini atas bahu.Menerima Baur (Keris Gelaran) daripada DYMM Sultan – 2025.
Tamat acara di hadapan singgahsana, saya bergerak secara melangkah kebelakang, kembali ke tempat permulaan istiadat dalam Balairung Seri.
Di tempat permulaan istiadat saya mengangkat sembah dalam kedudukan bertenggul. Seterusnya saya mengambil semula keris yang ditinggalkan di lantai dan menyelitkannya di pinggang.
Saya memulakan gerakan untuk meninggalkan Balairung Seri. Bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula. Saya kemudian di bawa keluar dari kawasan istana.
Kepala di selubung dengan kain supaya tidak melihat keadaan dalam istana. Meninggalkan Balairung Seri untuk bersembunyi -2025.
Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama sekurang-kurangnya tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.
Dalam keadaan berselubung. Di bawa keluar istana untuk bersembunyi – 2025.
Meninggalkan istana,dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh bersembunyi ini saya dilarang melihat wajah DYMM Sultan Perak, termasuk dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv dan internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas tempoh bersembunyi saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri. Istiadat kali ini diadakan di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025. Saya diiringi oleh keluarga.
Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau tua, iaitu warna untuk Orang Besar Empat.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.
Menghadap semula DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri selepas tamat tempoh “bersembunyi”. Upacara diadakan di Istana Perak, Kuala Lumpur pada 17/11/2025. Menandakan tamat tempoh larangan.17/11/2025 – Di Istana Perak, Kuala Lumpur. Foto keluarga bersama DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Tuanku Raja Permaisuri. Upacara menghadap semula selepas menjunjung duli selesai. Daulat Tuanku.
Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaran Y.A.Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
Syed Hasan sebagai ‘Raja Sehari’ di Perak – Sejarah atau Lagenda?.
Oleh: Syed Jaafar Aznan
(23/10/2017) Rev. 25/10/2020.
Syed Hasan bin Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail ialah seorang tokoh di zaman awal negeri Perak di abad 16. Gelaran ‘Raja Sehari’ kepada Syed Hasan (f. 1577) merupakan antara cerita lisan yang diperturunkan oleh keluarga Jamalullail di negeri Perak dari generasi ke generasi.
Kewujudan Syed Hasan ialah satu kenyataan, tetapi adakah cerita lisan mengenai gelaran beliau sebagai ‘Raja Sehari’ itu satu kenyataan sejarah, atau hanya sekadar lagenda di negeri Perak.
R.O. Winstedt dalam tulisannya “The Hadramaut Saiyids of Perak and Siak” (J.S.B.R.A.S.) No. 79, tahun 1918 mencatatkan gelaran ‘Raja S’ari’ (Raja Sehari) kepada Syed Hasan bin Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail*. Di kalangan keluarga Jamalullail Perak gelaran ini merupakan kisah sejarah, tetapi kekurangan fakta-fakta sokongan mendorong cerita gelaran ini ke alam lagenda.
Cerita mengenai Syed Hasan ‘Raja Sehari’ perlu dilihat dalam kontek sejarah hubungan awal negeri Perak dan negeri Aceh di abad 16. Dua persoalan timbul:
Mengapakah bapanya, Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail boleh dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah I, sultan pertama negeri Perak, bukan sahaja sebagai Penasihat/Guru Agama tetapi juga sebagai Menteri, sedangkan beliau berasal dari Hadramaut?
Apabila Aceh menyerang Perak dalam lingkungan tahun 1577 dan menawan Sultan Mansur Shah I dan keluarganya, cerita lisan di Perak menyatakan Syed Hasan bin Syed Husain telah dilantik sebagai pentadbir sementara dalam ketiadaan sultan di Perak. Soalnya, mengapa Syed Hasan dipilih?
Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail (bapa kepada Syed Hasan) ialah seorang ulama dan ilmuwan al Alawiyin dari Hadramaut yang datang ke dunia Melayu di Nusantara ini pada awal abad 16 M untuk mengembangkan ajaran Islam. Beliau telah datang melalui laluan perdagangan laut, dan tiba di negeri-negeri di sekeliling Selat Melaka. Beliau mungkin telah singgah di Aceh untuk seketika sebelum meneruskan perjalanan ke negeri Perak di awal abad 16 M. Beliau telah berada di Perak sebagai pendakwah sebelum perlantikan Sultan Muzaffar Shah I sebagai sultan Perak pertama (1528-1549). Di Perak, Syed Husain selaku seorang ulama dan ilmuwan al Alawiyin telah diberi penghormatan dengan lantikan sebagai Menteri dan Penasihat/Guru Agama kepada baginda sultan.
Di abad ke 16 M Aceh merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh atas negeri-negeri di Selat Melaka. Aceh juga merupakan tentangan utama kepada kuasa Portugis yang menawan Melaka pada 1511. Sebagai sebuah kerajaan baru dan berhampiran dengan Aceh, negeri Perak bersahaluan dengan Aceh dalam menentang kuasa Portugis di Melaka.
Kemungkinan besar Syed (Sharif) Husain telah berada di Perak dengan restu kerajaan Aceh. Inilah sebabnya beliau senang diterima oleh Sultan Muzaffar Shah I bukan sahaja sebagai Penasihat Agama, tetapi juga dilantik sebagai Menteri pertama dalam kerajaan baginda. Jawatan Orang Kaya Menteri Sri Paduka Tuan merupakan kedudukan tinggi dalam susunan kerajaan di Perak di masa itu, dan pelantikan Syed (Sharif) Husain, seorang Hadrami al Alawiyin yang ada hubungan dengan Aceh, melambangkan pengiktirafan pertalian politik antara Aceh dan Perak.
Catatan sejarah di Aceh menyatakan Aceh telah menyerang Perak dalam lingkungan tahun 1577. Sultan Perak ke dua, Sultan Mansur Shah I ibni Sultan Muzaffar Shah dan keluarga baginda telah ditawan dan di bawa ke Aceh**. Dalam tempoh singkat ketiadaan raja pemerintah di Perak, Aceh telah melantik Syed Hasan bin Syed Husain sebagai pentadbir sementara negeri Perak. Mengikut cerita lisan Syed Hasan telah diamanahkan mentadbir negeri Perak buat sementara waktu. Atas tempoh pentadbiran yang singkat ini beliau telah diberi gelaran ‘Raja Sehari’.
Gelaran ini merupakan satu cerita lisan keluarga Jamalullail di Perak, tetapi peristiwa serangan Aceh atas Perak pada lingkungan tahun 1577 diiktiraf sebagai fakta sejarah di Perak dan juga di Aceh.
Persoalan yang timbul ialah mengapa Aceh memilih Syed Hasan sebagai pentadbir sementara, sedangkan ada pembesar-pembesar lain di Perak. Pada tafsiran saya ini adalah kerana Syed Hasan ialah anak kepada Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail yang ada hubungan dengan Aceh. Syed (Sharif) Husain merupakan seorang ulama dan ilmuwan yang berkedudukan tinggi di Perak. Beliau dikenali oleh kerajaan Aceh, dan dengan itu anaknya Syed Hasan mendapat kepercayaan Aceh untuk menjalankan tugas pentadbir sementara ini.
Aceh kemudian telah melantik Sultan Ahmad Tajuddin Shah, anak kedua Sultan Mansur Shah sebagai sultan Perak ketiga. Baginda memerintah bagi tempoh 1577 – 1584.
Kisah Syed Hasan sebagai ‘Raja Sehari’ kerap diceritakan di kalangan keluarga besar Jamalullail di negeri Perak sebagai kenyataan. Ia perlu dilihat dalam konteks sejarah awal negeri Perak. Tetapi sehingga kini tidak banyak fakta sejarah dikemukakan untuk menyokong kesahihan cerita ini, dan dari segi akademik ia hanya boleh dianggap sebagai lagenda dan cerita rakyat.
Pada saya persoalannya masih terbuka. Apakah cerita lisan ini satu kenyataan sejarah atau hanya lagenda tempatan?
*Winstedt (1918) juga mencatatkan gelaran ‘raja sehari’ kepada Tun Pasak bin Tun Undan bin Tun Saban. Artikel ini tidak membincangkan mengenai Tun Pasak dan peristiwa tertentu yang membawa gelaran itu kepada beliau. Kemungkinan besar Syed Hasan dan Tun Pasak tidak membesar di zaman yang sama.
**Mengikut catatan sejarah versi Perak, Sultan Mansur tidak di bawa ke Aceh pada masa peperangan tahun 1577 itu. Baginda dikatakan hilang dan batu peringatan baginda ada ditempatkan di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.
Hikayat Misa Melayu (Yayasan Karyawan, 2015) merupakan sebuah karya agung sastera dan sejarah melayu karangan Raja Chulan bin Raja Hamid (mati c. 1786-1806). Ia ditulis selepas zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah), sultan Perak ke 15 yang memerintah Negeri Perak pada 1750 – 1765).
Sebagai bahan sejarah ia merupakan dokumen tertua mengenai sejarah awal negeri Perak. Ia juga merupakan dokumen tertua yang mengisahkan kedudukan keluarga ahl al bayt Jamalullail di negeri Perak.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat xlii.
Hikayat Misa Melayu mengisahkan sejarah kesultanan Perak dari zaman sultan Perak ke 10, Sultan Muzaffar Shah II (Marhum Jalilullah) 1636 – 1653, hingga ke zaman sultan Perak ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah) 1750-1765.
Zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain Shah ini dianggap sebagai zaman gemilang kesultanan Melayu Perak dari segi adat-istiadatnya dan kemakmuran rakyatnya.
Mengikut pendapat utama ahli-ahli sejarah Hikayat Misa Melayu ini asalnya di tulis pada tahun 1784M (1202H) dan telah disalin semula beberapa kali kemudian.
Makam Syed Jalaluddin bin Syed Abdul Majid, Tok Tambak Keramat di Pulau Pisang.
Di zaman gemilang kesultanan Melayu Perak inilah wujudnya seorang tokoh Jamalullail Perak dan anak-anaknya yang menjadi kebanggaan seluruh keturunan Jamalullail Perak di masa ini. Beliau ialah Syed Jalaluddin bin Syed Abdul Majid (fl. awal 1700) atau lebih dikenali selepas matinya sebagai Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang. Beliau mati pada awal abad 18 M dan semasa hidupnya berkhidmat sebagai ulama tersohor di zaman Sultan Mahmud Iskandar Shah (Marhum Besar Aulia Allah, 1653 – 1720). Syed Jalaluddin (Tok Tambak) mempunyai dua belas anak, lapan lelaki dan empat perempuan.
Beberapa orang dari anak lelaki Tok Tambak berkedudukan tinggi dalam kesultanan negeri Perak, dari zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah III (Marhum Haji Allah), 1728 – 1744 hingga ke zaman Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah (Marhum Kaharullah), 1750-1765. Nama-nama merika tercatat dalam Hikayat Misa Melayu yang ditulis pada tahun 1784.
Di bawah ini diperturunkan secara ringkas beberapa petikan dari naskah Hikayat Misa Melayu (cetakan 2015) yang menyebut nama-nama merika.*
Sharif (Syed) Abu Bakar.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 30.
Mengikut cerita lisan keluarga Jamalullail Perak, Sharif (Syed) Abu Bakar bin Syed Jalaluddin (fl. 1750) ialah anak sulung kepada Syed Jalaluddin, dan beliau pernah memegang jawatan Bendahara dan kemudian Menteri dari zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah III hingga ke zaman Sultan Iskandar Zulkarnain Shah. Beliau mati dalam lingkungan tahun 1760 dan makamnya terletak di Bota, Parit.
Syed Abu Bakar mempunyai 11 orang anak, lapan lelaki dan tiga perempuan. Seorang dari anaknya Syed Shamsuddin menjadi menteri di Chegar Galah. Seorang lagi anak lelakinya ialah Syed Ajmadin yang anaknya Syed Othman pula menjadi menteri di Pauh Lima dalam abad 19.
Makam Syed Abu Bakar (Bendahara dan Menteri) di Bota, Parit (Mati c. 1760).
Sharif (Syed) Husain.
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 11.Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 37.
Sharif (Syed) Husain bin Syed Jalaluddin beristerikan Raja Long Besar dari keluarga Sultan Muhammad Shah (Marhum Aminullah). Beliau dilantik sebagai Orang Kaya Menteri bertempat di Beruas. Beliau ialah ulama yang ditugaskan oleh Sultan Muzafar Shah III (Marhum Haji Allah) untuk menikahkan anak baginda Raja Budak Rasul dengan Raja Muda Iskandar. Dalam Hikayat Misa Melayu (2015:11) beliau disebut sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Orang Kaya Menteri Seri Paduka Tuan.
Raja Sharif (Syed Hasan).
Hikayat Misa Melayu (2015) mukasurat 126.
Di mukasurat 126 dalam buku tersebut ada tercatat gelaran “Raja Sharif”. Mengikut cerita lisan keluarga Jamalullail beliau ialah Syed Hasan bin Syed Jalaluddin yang berkahwin dengan Raja Shah Alam, adinda kepada Sultan Iskandar Zulkarnain Shah (Marhum Kaharullah). Dari pasangan ini lahirlah Raja Sharif (Syed) Bisnu yang terkemudian bergelar Sultan Muda Sharif (Syed) Alauddin.
Sharif (Syed) Hashim Jamali.
Juga disebut dalam Hikayat Misa Melayu (2015) ialah nama Sharif (Syed) Hashim Jamali, seorang lagi anak kepada Syed Jalaluddin. Perkataan “Jamali” pada nama beliau merujuk kepada nama kabilah “Jamalullail” dalam sebutan tempatan di masa itu.
Abad 17 dan 18 merupakan zaman gemilang kesultanan Perak. Kemakmuran negeri Perak pada masa itu menarik banyak pedagang dan pengembara berkunjung ke negeri itu. Kedudukan tinggi anak-anak Syed Jalaluddin Jamalullail (Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang) sebagai Orang Besar-Besar negeri Perak di abad 18 juga menjadi tarikan kepada para ‘syed’ lain dari luar negeri untuk singgah di Perak dalam perjalanan merika di Tanah Melayu.
Catatan diatas mengenai anak-anak Tok Tambak berasaskan petikan dari buku Hikayat Misa Melayu (2015). Ia merupakan sumber sejarah mengenai kedudukan Jamalullail Perak di abad 18 M dahulu.
*Dalam Hikayat Misa Melayu dan juga mengikut kelaziman di Perak pada zaman dahulu gelaran ‘Sharif’ digunakan bagi keluarga Jamalullail yang mempunyai hubungan rapat dengan istana di Perak. Bagi ahl al bayt lain gelaran ‘Sayyid / Syed’ digunakan. Di masa sekarang gelaran ‘Syed’ digunakan sebagai kelaziman di Perak.
*Keterangan mengenai Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak ini sekadar menerangkan pengalaman saya semasa menjalani istiadat tersebut pada tahun 2010.
Di hadapan Singgahsana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 19/4/2010 (4/5/1431H). Menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada istiadat menjunjung duli dan perayaan hari keputeraan baginda ke-82.
Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak merupakan adat tradisi kesultanan Raja-Raja Melayu yang diamalkan turun temurun. Ia dilakukan sebagai upacara resmi penganugerahan gelaran kepada bakal-bakal sultan, raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri Perak.
Pada 19 april 2010 saya telah menjalani istiadat Menjunjung Duli untuk memenuhi syarat menerima gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja. Gelaran ini ini telahpun terdahulu diberikan kepada saya pada tahun 2003.
Saya telah dikurniakan gelaran Y.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja diRaja, Perak berasaskan waris benih mengikut keturunan. Datuk saya Syed Abdul Hamid bin Syed Safi Jamalullail dan datuknya Syed Jaafar bin Syed Yunus Jamalullail merupakan antara pemegang gelaran tersebut di masa lalu.
Secara ringkas upacara istiadat Menjunjung duli yang telah saya lalui boleh dibahagikan kepada empat peringkat:
Upacara Sumpah Ciri, di luar istana
Istiadat di Balairung Seri
Meninggalkan istana dan permulaan tempoh larangan.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi dan larangan.
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Upacara Sumpah Ciri, di luar pintu istana.
Di pagi hari istiadat pada 19 Oktober 2010, saya telah bersembahyang subuh di Masjid Ubudiah yang berdekatan dengan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Selepas itu saya dan keluarga telah pergi ke tempat khas di luar pintu Istana Iskandariah, di mana upacara Sumpah Ciri akan di adakan.
Semua bakal penerima gelaran perlu menjalani upacara Sumpah Ciri sebelum di benarkan masuk dalam bangunan istana. Upacara ini dilakukan di luar pintu tepi istana. Ia diuruskan oleh Toh Seri Nara DiRaja.
Upacara Sumpah Ciri lazimnya selesai sebelum terbit matahari.
Saya berpakaian baju melayu biasa dan bersampin. Bersama dua orang lagi penerima gelaran, kami telah diminta berdiri berbaris di tangga istana. Kami semua berpeluk tubuh dan bertafakur, berpayungkan sepelepah daun pisang yang melambangkan perlindungan rakyat oleh Raja.
Toh Seri Nara DiRaja (Toh Nara) kemudian berdiri atas “anak tangga” yang disediakan dan memulakan istiadat Sumpah Ciri dengan membaca Surat Nasihat sebagai permulaan sebelum membaca Surat Ciri. Dalam kata-kata nasihat Toh Nara telah:
Menyebut nama-nama bakal penerima gelaran di hari itu,
Memperingati penerima mengenai pantang-larang yang perlu dipatuhi.
Memperingati penerima akan ‘daulat’ Raja-Raja Melayu terdahulu, dan “tulah” atau bala yang akan menimpa merika yang derhaka.
Peringatan yang diberi oleh Toh Nara itu menerangkan sumpah taat setia oleh penerima gelaran kepada Raja. Penerima gelaran mestilah memberi taat setia kepada Raja, tertakluk kepada hukum Allah dan Rasullullah.
Upacara Sumpah Ciri – Toh Seri Nara DiRaja (berpakaian hitam) berdiri atas “anak tangga” dan membaca Surat Nasihat dan Surat Ciri. Di kiri ialah Pawang DiRaja (berpakaian merah).
Selepas itu Toh Nara membaca Surat Ciri , yang mana teks asalnya datang dari kerajaan Raja-Raja Melayu di Bukit Seguntang. Surat Ciri asal di tulis dalam bahasa Sanskrit, tetapi sekarang kandungannya ditambah sedikit dengan bahasa-bahasa Melayu lama dan Arab. Bahasanya berbentuk puisi dan memuji kebesaran Raja-Raja Melayu dahulu dari Sultan Muzaffar Shah I hingga ke Raja pemerintah sekarang.
Untuk bacaan lanjut mengenai kandungan Surat Ciri sila lihat W.E.Maxwell, “An Account of the Malay Chiri: A Sanskrit Formula” 1881, (Reprint: Forgotten Books: Hong Kong 2013), dan “The Chiri or Coronation Address” dalam R.O.Winstedt and R.J.Wilkinson, ”A History of Perak”, M.B.R.A.S. (Reprint No.3, 1974) pp.175-176.
Upacara merenjis
Seterusnya, Toh Nara merenjis tepung tawar dan air mawar kepada kesemua bakal penerima gelaran, sebagai tanda tamatnya upacara Sumpah Ciri, iaitu bahagian permulaan dalam Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak.
Semua bakal penerima gelaran kemudian dibenarkan masuk ke dalam istana untuk menunggu titah masuk menghadap di Balairung Seri.
Istiadat di Balairung Seri.
Tengkolok, dengan ikatan “Lang Menyusur Angin”.
Saya di bawa ke luar istana dalam keadaan berselubung dan menaikki sebuah kenderaan yang telah sedia menunggu. Saya dikehendakki berada dalam keadaan berselubung sehingga menyeberangi Sungai Perak. Selepas itu saya meneruskan perjalanan meninggalkan negeri Perak, dan bersembunyi selama tujuh hari. Saya bertolak menuju ke Kuala Lumpur.
Semua penerima gelaran berpakaian penuh istiadat dan berada di luar Balairung Seri, menunggu titah dipanggil menghadap. Saya berpakaian baju Melayu kain songket, berbengkung dan bertengkolok ikatan negeri Perak. Ikatan tengkolok saya bernama “Lang Menyusur Angin”. Pakaian saya berwarna hijau muda, iaitu warna yang dikhaskan untuk Toh Muda Orang Besar Empat.
Sebilah keris istiadat yang diikat dengan kain diselitkan dibengkung pinggang. Mengikut adat Melayu apabila seseorang itu menghhadap Raja, hulu keris yang dibawa mestilah dipusingkan ke tepi sebagai tanda hormat dan bukan dengan niat untuk bertempur. Keris yang saya gunakan ialah dalam bentuk “Keris Semenanjung“. Bilah keris berlok lima dan hulu keris bentuk “Ayam Teleng“. Selain dari itu, semua bintang kebesaran di pakai.
“Keris Semenanjung” sebagai keris istiadat. Bilahnya berlok lima, dan hulunya bentuk “Ayam Teleng”. Keris diikat dengan kain.
Sebentar kemudian terdengar laungan dari bentara “..(nama saya).., titah dipanggil menghadap”.
Masuk ke Balairung Seri
Saya berjalan masuk ke Balairung Seri. Di kiri dan kanan sudah penuh dengan tetamu-tetamu dan orang besar-besar negeri. Di hujung sana kelihatan DYMM Sultan dan DYMM Permaisuri bersemayam di singgahsana.
Duduk bertenggul di Balairung Seri
(Untuk bacaan lanjut mengenai Nobat negeri Perak sila lihat W.Linehan, “The Nobat and the Orang Kalau of Perak“, J.M.B.R.A.S. Vol.24, No.3 (156) October 1951, pp. 60-66, dan Raja Iskandar bin Raja Halid, “The Royal Nobat of Perak“, UMK Press 2018).
Setiba tempat yang ditetapkan saya telah memulakan istiadat dengan duduk bertenggul (duduk atas kaki kiri sahaja, sementara kedua tapak tangan memegang lutut kaki kanan), dan mengangkat sembah beberapa kali. Toh Nara sudah pun berada di situ dan beliau mengiringi saya dalam pergerakan beradat ke singgahsana dan sehingga tamat upacara.
Dalam kedudukan bertenggul saya mengeluarkan keris istiadat dari pinggang saya dan meletakkannya di sebelah kanan saya. Keris ini ditinggalkan di situ dan akan saya ambil semula setelah tamat pergerakan ke singgahsana.
Seterusnya, saya tunduk bertafakur dan di saat itu Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran. Ini diikuti dengan laungan “Daulat” tiga kali oleh semua tetamu dan orang-orang besar yang hadir.
Tamat laungan “Daulat” maka pergerakan ke singgahsana dimulakan, bermula dengan langkah kanan. Kedua tangan kiri dan kanan diletak di pinggang sebelah kanan.
Kumpulan Nobat negeri PerakPenulis bersama Toh Setia Guna, ketua Kumpulan Nobat Negeri Perak 2019. Semua pemain alat Nobat adalah keturunan Orang Kalur.
Semasa dalam pergerakan Nobat dimainkan mengikut peraturan istiadat dan berterusan hingga tamat istiadat. Pada upacara ini lagu nobat yang dimainkan ialah “Lenggang Che Kobat“.
Pergerakan menuju ke singgahsana, diikuti permainan Nobat dengan lagu “Lenggang Che Kobat”.
Dalam pergerakan menuju ke singgahsana saya berhenti seketika tiga kali untuk upacara intai-intai. Ini dilakukan dengan menjenguk kepala kehadapan dari sebelah kanan, seolah-olah cuba melihat dari jauh wajah Raja yang sedang bersemayam di singgahsana.
Mengesot ke tangga singgahsana.
Apabila hampir tiba di kaki singgahsana, saya memulakan upacara mengesot, iaitu bergerak kehadapan dalam keadaan bertenggul. Pergerakan mengesot ini tamat dalam tiga gerakan sehingga sampai di kaki tangga singgahsana. Pada ketika itu DYMM Sultan turun dari atas singgahsana untuk meneruskan istiadat.
DYMM Sultan melakukan empat perkara:
Mula-mula baginda Sultan menghunus pedang pusaka Raja-Raja Melayu Perak, Pedang Cura Si Manjakini dan meletakkan mata pedang itu ke bahu kanan dan kiri saya.
Kemudian baginda mencucukkan ‘Pacak Ketor’ di sebelah kanan tengkolok saya. Pacak ketor merupakan sekuntum bunga emas yang bertangkai dawai lembut. Bunga emas itu bergoyang (menggeletar) apabila dipacak di tengkolok. Bunga emas itu dinamakan ‘pacak ketor’ dalam loghat bahasa Melayu Perak.
Baginda kemudian merenjis tepung tawar dan bunga mawar sebagai tanda berkenan merestui upacara yang dijalankan.
Kemudian, baginda menganugerahkan watikah resmi gelaran, dan selepas itu kembali naik ke atas singgahsana.
Sentuhan Pedang Cura Si Manjakini di bahu kiri dan kanan‘Pacak Ketor’ dicucuk di tengkolok
‘Pacak Ketor’
Menerima watikah gelaran.
Saya kemudian memulakan pergerakan kembali ke tempat permulaan istiadat, iaitu di mana keris ditinggalkan. Ini bermula dengan mengesot kebelakang tiga gerakan. Kemudian saya berdiri semula dan bersama dengan Toh Nara memulakan pergerakan berjalan secara berundur, bermula dengan kaki kiri.
Dalam pergerakan berundur ini saya berhenti beberapa kali untuk mengangkat sembah. Pergerakan tamat apabila sampai tempat bermula pergerakan, di mana keris di tinggalkan.
Meninggalkan Balairung Seri dalam keadaan berselubung. Tempoh larangan bermula.
Seterusnya upacara meninggalkan Balairung Seri bermula. Saya duduk bertenggul dan mengangkat sembah beberapa kali. Selepas sembah terakhir saya mengambil semula keris yang tadi ditinggalkan atas lantai dan menyelitkannya semula ke pinggang. Kemudian saya memusingkan badan ke kiri dan terus menghadapi pintu Balairung Seri di belakang saya. Di masa itu bentara-bentara menyelubung kepala saya dengan sebidang kain tebal supaya saya tidak boleh melihat keadaaan dalam istana, menandakan bahawa tempoh larangan telah bermula.
Meninggalkan istana,dan permulaan tempoh bersembunyi dan larangan.
Dalam tempoh larangan ini saya dilarang melihat wajah ataupun gambar DYMM Sultan Perak samada dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv atau internet.
Menghadap semula selepas tempoh bersembunyi.
Selepas bersembunyi selama tujuh hari saya dan isteri kembali menghadap semula DYMM Sultan di istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Kali ini saya diiringi oleh keluarga dan saudara-mara.
Saya membawa persembahan sebanyak tujuh dulang mengandungi pulut kuning, kain persalinan dan lain-lain. Lazimnya seseorang penerima gelaran membawa lima atau tujuh dulang atau lebih, dan kandungannya mengikut kemampuan sendiri.
Tempoh bersembunyi dan larangan tamat.
Upacara ini lazimnya dihadiri hanya oleh bilangan tetamu yang kecil, termasuk raja-raja bergelar dan orang besar-besar negeri, dan sebilangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Perak.
Menghadap semula selepas tamat tempoh bersembunyi. Membawa persembahan.
Pada upacara ini saya tidak lagi memakai pakaian penuh istiadat, tetapi hanya memakai baju melayu lengkap berwarna mengikut gelaran. Saya telah berpakaian warna hijau muda, iaitu warna untuk Toh Muda Orang Besar Empat.
Tepung tawar dan air mawar direnjis. Tamat istiadat Menjunjung Duli.
Di akhir upacara DYMM Sultan merenjis tepung tawar dan air mawar.
Istiadat Menjunjung Duli untuk gelaranY.D.H. Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Perak selesai.
Penutup.
Istiadat Menjunjung Duli di negeri Perak yang telah dilakukan beratus tahun melambangkan kekayaan tradisi Raja-Raja Melayu. Istiadat ini juga dilakukan di beberapa negeri Melayu di Nusantara, selain dari negeri Perak. Surat Ciri, Pedang Cura Si Manjakini dan Nobat adalah warisan kesultanan Raja-Raja Melayu negeri Perak dari zaman dahulu.
Saya berharap perihal adat di atas akan mencetus minat di kalangan generasi muda sekarang untuk mengetahui sedikit-sebanyak kekayaan warisan budaya negeri Perak.
Siapa pemilik nesan ini? Nesan Aceh No. 4 dalam kawasan Makam DiRaja, Teluk Bakung, Parit, Perak jadi tandatanya.
(Nesan kepala No.4, dalam makam diraja di Teluk Bakung, Parit, Perak. Pandangan bahagian hadapan dari sudut utara)Makam DiRaja di Teluk Bakung. Nesan Sultan Muzaffar Shah I bertanda nombor 2 dalam gambar. Nesan ini asalnya buatan nesan Aceh, tetapi telah rosak dan terkemudian diganti dengan nesan batu tempatan. Nesan kepala No. 4 – Pandangan dari selatan (bahagian belakang).Nesan kepala No. 4. Pandangan dari atas.Nesan kaki No.4 – Pandangan dari utara. Nesan kepala No.1 – Dikatakan nesan anak Sultan Muzaffar Shah I. Pandangan dari utara.Nesan no. 3 – Batu nesan kepala Syed Husain Al Faradz Jamalullail di Teluk Bakung, Parit. Bentuk nesan Aceh ini tergulung dalam nesan Aceh abad ke 16 M.
Inilah gambar sebuah nesan tua di Teluk Bakung, Parit, Perak. Nesan tua ini diperbuat dari batu Aceh abad 16 Masehi. Ia antara empat pasang nesan yang berada dalam kawasan Makam Diraja di situ yang juga menempatkan nesan Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak pertama 1528 – 1549. Nesan ini berkedudukan ke empat jika dikira dari sudut barat, di hujung kawasan Makam Diraja tersebut. Sebagai rujukan, nesan Sultan Muzaffar Shah I di kedudukan ke dua dari sudut barat.Ada beberapa pendapat mengenai siapa pemunya nesan tersebut:
Nesan nombor 4 dalam gambar di atas berada dalam kawasan Makam Diraja. Besar kemungkinan ia kepunyaan seorang ahli keluarga Sultan Muzaffar Shah I, ataupun seorang yang sangat akrab dengan baginda.
Nesan Aceh itu bersaiz besar dan berbentuk bunga dan ini membawa kepercayaan yang ia adalah nesan untuk seorang perempuan berkedudukan tinggi. Tetapi ada juga pengkaji berpendapat bahawa bentuk bunga itu tidak semestinya dikhaskan kepada perempuan, dan boleh juga untuk seorang lelaki.
Ada pengkaji berpendapat bahawa nesan tua ini kepunyaan Tun Merah, isteri kepada Sultan Muzaffar Shah I. Tetapi ada pendapat lain ia kepunyaan seorang lelaki yang berkedudukan tinggi dan akrab dengan baginda sultan.
Ada beberapa kalimah dalam tulisan Arab dan Jawi lama diukir pada batu nesan Aceh ini. Kalimah-kalimah inilah yang menjadi kunci dan rahsia atas siapa sebenarnya pemunya nesan tersebut, dan kaitannya dengan sejarah awal negeri Perak.
Masalahnya, merika yang pernah mengkaji perkara ini memberi tafsiran berbeza atas kalimah-kalimah tersebut.
Pada pendapat saya pakar-pakar sejarah awal negeri Perak dan pakar-pakar bahasa Arab dan Jawi lama perlu mengkaji perkara ini dengan teliti. Maklumat yang diperolehi akan membuka rahsia nesan tersebut, dan memberi pencerahan kepada sejarah awal negeri Perak.
MAKAM SYED (SHARIF) HUSAIN AL FARADZ JAMALULLAIL DI PERAK.
Oleh: Syed Jaafar Aznan
8/10/2021
Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail, seorang ulama dan ilmuwan, diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan sultan perak pertama, Sultan Muzzafar Shah I yang memerintah pada 1528 – 1549 M. Beliau berkhidmat sebagai Penasihat Agama kepada Sultan Muzzafar Shah I dan juga sebagai Orang Kaya Menteri pertama di negeri Perak. Syed Husain mati pada lingkungan tahun 1580 M di zaman pemerintahan sultan Perak ke 3, Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( 1577 – 1584 M). Beliau dimakamkan di Perak.
Di mana lokasi makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail?
Ada dua pendapat atas perkara ini:
1) Di Teluk Bakung, Parit, Perak
2) Di Kuala Teja, Kampar, Perak.
1) Makam di Teluk Bakung, Perak.
Cabutan dari laporan Dato Setia Bijaya Jeragan Abdul Shukor (JSBRAS, June 1907)
Empat pasang nesan dalam Makam diRaja Teluk Bakung, Parit, Perak. Nesan No.3 dari kanan kepunyaan Syed (Sharif) Husain guru kepada Sultan Muzaffar Shah I, Perak. Nesan Sultan Muzaffar Shah I bertanda No.2 dalam gambar.Nesan no. 3 – Batu nesan kepala Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Teluk Bakung, Parit. Bentuk nesan Aceh ini tergulung dalam nesan Aceh abad ke 16 M.
Mengikut laporan Dato Setia Bijaya Jeragan Abdul Shukor (JSBRAS, June 1907) makam sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I ialah di Tanah Abang, Teluk Bakung, Perak. Makam baginda (No. 2 dalam gambar) terletak dalam satu kawasan berdinding mengandungi empat makam. Di sebelah kanan (No. 1) ialah makam anak perempuan baginda dan di kiri (No. 3 dan 4) ialah makam-makam guru (Syed Husain) dan isteri baginda.
Jeragan Abdul Shukor dalam laporannya bertarikh 1907 menyatakan kesemua empat pasang nesan ialah dari jenis nesan Acheh. Tidak ada nama dicatat atas mana-mana nesan tersebut.
Makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Teluk Bakung itu memberi kedudukan yang tinggi kepada beliau kerana ia terletak dalam kawasan makam diraja keluarga Sultan Muzaffar Shah I. Dari cerita lisan penduduk tempatan di kawasan itu Syed (Sharif) Husain diberi penghormatan tersebut kerana hubungan rapat beliau semasa hayatnya dengan keluarga Sultan Muzzafar Shah I.
2) Makam di Kuala Teja, Perak.
Makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail di Kuala Teja, Kota Bharu, dalam mukim Kampar, Perak. Makam ini terletak di satu kawasan yang hampir merupakan se buah pulau di tepi tasik. Makam ini di tanah kepunyaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak.
Rimbunan hijau semulajadi melindungi makam Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dari kesan hakisan air tasik.
Papan tanda makam Syed (Sharif) Husain al Faradz Jamalullail di Kuala Teja, Kota Bharu, Perak.
Mengikut keluarga Jamalullail yang telah tinggal di kawasan Teja dan sekelilingnya sejak beratus tahun lalu, makam allahyarham terletak di Kuala Teja, Kota Bharu, dalam mukim Kampar, Perak. Teja dan kawasan sekelilingnya merupakan antara perkampungan yang tua di negeri Perak. Di sinilah antara tempat di mana ramai pembesar negeri Perak, terutama dari keluarga Jamalullail tinggal dari zaman pembukaan negeri Perak di awal abad 16 M.
Dalam sejarahnya makam tersebut telah terselamat apabila kapal korek bijih (tin dredge) yang beroperasi di situ di awal abad ke-20, hampir satu abad yang lalu terpaksa memberhentikan operasinya di hadapan kawasan makam. Itulah sebabnya lokasi makam itu hampir merupakan sebuah pulau dengan sebahagian besar dikelilingi dengan tasik perlombongan. Sekarang rimbunan pohon dan belukar yang tumbuh di sekeliling makam tersebut memberi perlindungan semulajadi daripada hakisan tanah akibat air tasik.
Lokasi makam ini menimbulkan persoalan mengapa ia jauh dari Sungai Perak dan dari pusat pemerintahan sultan di zaman dahulu?
Pencerahan atas persoalan ini boleh dilihat dalam konteks berikut:
Sultan Muzaffar Shah I memerintah Perak 1528 – 1549. Baginda melantik orang besar-besar negeri mengikut sistem kerajaan Melaka. Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dilantik sebagai Orang Kaya Menteri pertama negeri Perak dalam kerajaan baginda.
Apabila Sultan Muzaffar Shah I mangkat pada 1549, lantikan Syed Husain sebagai Orang Kaya Menteri tamat tempohnya. Mungkin jawatan itu tidak diisi semula serta-merta oleh Sultan Mansur dan lantikan baru hanya dibuat di zaman sultan-sultan terkemudian. Penamatan lantikan dan lantikan baru orang besar-besar negeri di Perak berikutan pertukaran sultan di zaman dahulu adalah satu perkara biasa.
Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1549, Syed (Sharif) Husain tidak lagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran negeri walaupun terus memainkan peranan sebagai pendakwah dan guru agama. Dalam keadaan itu beliau tidak perlu lagi sentiasa berada di sekeliling istana, dan telah berhijrah ke mukim lain untuk meneruskan dakwahnya. Ini membawa beliau ke kawasan Teja yang mana terkemudian menjadi perkampungan besar keluarga Jamalullail di zaman dahulu. Dalam keadaan ini memang mungkin sekali beliau mati di Teja dan dikebumikan di situ.
Perbandingan Antara Dua Lokasi Makam.
Kedua-dua makam Syed (Sharif) Husain di Teluk Bakung dan di Kuala Teja itu tidak mempunyai batu nesan bernama dan bertarikh. Nesan di Kuala Teja itu hanyalah batu-batu sungai yang merupakan nesan gantian yang baharu, dan tidaklah diketahui apakah jenis nesan yang terdahulu darinya dan bila ia asalnya di tanam. Begitu juga nesan Acheh di Teluk Bakung itu tidak diketahui bila sebenarnya ia ditanam di makam diraja itu memandangkan Syed (Sharif) Husain mati pada lingkungan 1580, lama selepas Sultan Muzzafar Shah I yang mangkat pada 1549. Nesan Acheh di Teluk Bakung itu dianggarkan di tanam pada akhir abad 16 M atau awal abad 17 M dan berkemungkinan lebih tua dari nesan batu sungai di Kuala Teja. Walaubagaimanapun, dalam membuat bandingan antara kedua makam tersebut adalah sukar menentukan makam yang mana lebih sahih.
Kedua-dua makam tersebut boleh dianggap hanya sebagai ‘makam’ dalam ertikata tanda penghormatan dan tempat Syed Husain pernah singgah semasa hidupnya, dan tidak semestinya ‘kubur’ yang mesti mengandungi jasad yang dikebumikan di situ. Kemungkinan besar makam-makam ini dibina lama selepas kematian Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail pada tahun 1580M, sebagai satu pengiktirafan yang beliau pernah bermukim di tempat itu.
Penutup.
Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail, Orang Kaya Menteri dan Penasihat Agama kepada Sultan Muzzafar Shah I mati di Perak pada 1580 M dan dikebumikan di Perak.
Kedua-dua makam di Teluk Bakung, Parit, dan di Tebing Tinggi, Kuala Teja, Kampar adalah bukti yang Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail pernah bermastautin di negeri Perak. Ia juga merupakan pengiktirafan kedudukan beliau sebagai ahl al-bait yang terkemuka di zaman awal negeri Perak.
Saya berharap pengkaji sejarah awal negeri Perak, dan juga keturunan keluarga besar Syed (Sharif) Husain Al Faradz Jamalullail dapat meneliti perkara ini dengan lebih terperinci.
Catatan Mengenai Nasab dan Keturunan Syed Husain Al Faradz Jamalullail di Negeri Perak.
Oleh:
Syed Jaafar Aznan
( 23/7/2019) (Rev.24/8/2020)
Asalnya manusia ialah dari Nabi Adam a.s. Dari baginda lah berkembangnya manusia kepada berbagai bangsa dan suku-kaum, berbagai kebudayaan dan bahasa di seluruh dunia.
Dalam agama Islam insan yang paling mulia di sisi Allah ialah yang lebih bertaqwa kepada Nya. Ini dijelaskan dalam Al Quran, surah Al Hujuraat (49:13) yang membawa makna:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku-kaum, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.” (Al Quran: Al-Hujuraat 49:13)
Manusia digalakkan mengenali nasab dan keturunan merika semasa hidup di dunia. Dalam dunia Islam antara berbilang nasab dan keturunan, yang terkenal selepas zaman Rasulullah s.a.w. ialah yang di nisbahkan kepada Saidina Hasan dan Saidina Husain bin Ali, kedua-duanya cucu kepada Rasulullah s.a.w. melalui anak baginda Fatimah Az-Zahrah. Merika adalah ahl al bayt.
I. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘nasab’?
Nasab ialah satu definasi yang khusus, yang bermakna pertalian darah antara ayah dan anak. Dalam carta nasab hanya anak lelaki diambilkira. Anak itu pula mestilah dilahirkan berikutan nikah yang sah antara ayah dan ibunya, mengikut hukum Shariah.
II. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘keturunan’ dan ‘keluarga’’ di negeri Perak?
Di negeri Perak istilah-istilah ‘keturunan’ dan ‘keluarga’ sering digunakan secara gantian dengan makna yang sama. Istilah-istilah ini membawa makna yang lebih luas dari istilah ‘nasab’, dan meliputi anak-cucu bukan sahaja dari anak-anak lelaki tetapi juga dari anak-anak perempuan.
Dalam adat dan kebudayaan negeri Perak apabila seorang ‘Syarifah’ iaitu anak perempuan kepada seorang ‘Syed’ berkahwin dengan seorang yang bukan dari keturunan ‘Syed’ maka anak lelakinya akan diberi gelaran ‘Meor’ dan anak perempuannya diberi gelaran ‘Mai’. Gelaran-gelaran ini menunjukkan yang merika semua ada pertalian darah dengan seorang yang bergelar ‘Syed’. Di negeri Perak gelaran-gelaran ‘Meor’ dan ‘Mai’ terkadang mempunyai variasi seperti ‘Wan’.
Hakikatnya, semua yang bergelar Meor dan Mai di negeri Perak adalah berketurunan dari seorang ‘Syed’ dan merika termasuk dalam keluarga besar ‘Syed’ tersebut.
III. Nasab yang paling sempurna mestilah mempunyai dua syarat mutlak:
i. Pertalian darah antara anak dan ayah,
ii. Pernikahan yang sah antara ayah dan ibu. Identiti ibu itu perlulah dikenalpasti.
Dengan itu, apabila seseorang itu menyatakan beliau mempunyai pertalian nasab yang sempurna untuk beberapa generasi terdahulu darinya, maka bagi setiap generasi kedua-dua syarat diatas mestilah dipenuhi tanpa apa-apa keraguan.
IV. Bagaimanakah kesahihan nasab itu ditentukan?
Di negeri Perak ini khasnya, dalam satu abad yang lalu, kerajaan telah mengeluarkan dokumen-dokumen tertentu yang boleh mengesahkan kedua-dua syarat mutlak nasab seseorang itu. Dokumen-dokumen berkenaan di negeri Perak ini adalah seperti berikut:
Sijil Kelahiran: Dokumen ini dikeluarkan apabila seorang bayi itu dilahirkan. Ia menyatakan nama penuh bapa dan nama penuh ibu yang melahirkan, selain dari maklumat lain seperti masa dan tempat kelahiran itu.
Sijil Nikah: Dokumen ini yang dikeluarkan oleh pejabat agama Islam yang berkenaan menyatakan pernikahan yang sah mengikut Shariah antara seseorang lelaki dan perempuan.
Dengan itu, apabila seseorang itu menisbahkan dirinya kepada seorang lelaki sebagai bapanya, maka sijil kelahirannya dan sijil nikah bapa dan ibunya menjadi bukti kepada penisbahannya.
Alhamdulillah, bagi kita di negeri Perak ini, untuk satu abad yang lalu bukti-bukti secara dokumentasi ini boleh dikemukakan untuk penentuan nasab yang sempurna. Ia menjadi asas kepada pembentukan salasilah keturunan.
V. Penentuan Nasab dan Keturunan di zaman dahulu.
Tetapi, bagaimana pula bagi generasi nenek-moyang kita yang lebih lama, yang melebihi satu abad terdahulu? Di zaman dahulu tidak ada dokumen resmi mengenai kelahiran dan perkahwinan.
Untuk menentukan kesahihan catatan salasilah di zaman nenek-moyang kita beratus tahun dahulu kita boleh merujuk kepada penggunaan bukti-bukti alternatif atau apa yang disebut sebagai bukti-bukti sejarah:
i) Dokumen/Salasilah bertulis.
ii) Cerita lisan.
i) Dokumen/Salasilah bertulis.
Dokumen/salasilah bertulis meliputi bahan tercetak dan yang tidak dicetak (atas kertas atau bahan lain, dan termasuk penulisan atas batu-batu nesan). Dalam meneliti kesahihan dokumen/salasilah ini beberapa perkara perlu diteliti:
Siapa penulis dokumen atau pencatat salasilahberkenaan? Adakah dia seorang ahli pengkaji salasilah yang boleh dipercayai dalam konteks masanya?
Apakah sumber yang digunakan oleh penulis/pencatat, iaitu samada dokumen yang lebih lama atau cerita lisan (oral tradition)? Jika pencatat menggunakan dokumen yang lama maka kesahihan dokumen lama itu dan sumbernya perlu dikaji.
Beberapa jauh jangka masa antara penulisan itu dengan kisah yang diceritakan? Dokumen/salasilah lama boleh dianggap mempunyai nilai sejarah. Tetapi jika kisah yang dicatat dalamnya berlaku pada masa yang terlalu jauh kebelakang dari tarikh penulisannya maka ia perlu dikaji dengan lebih teliti.
Adakah dokumen/salasilah berkenaan ditulis dalam konteks tempat dan masa tertentu? Dokumen/salasilah seperti ini tidak boleh dipanjangkan pemakaiannya secara am ke tempat atau negeri lain tanpa penerimaan oleh pakar-pakar tempatan. Misalnya, apa-apa salasilah mengenai keluarga Jamalullail di negeri Perak yang ditulis oleh penulis-penulis luar dari negeri Perak yang menggunakan data dari sumber negeri-negeri lain, mestilah dirujuk kepada pakar-pakar tempatan di Perak terutama dari kalangan keluarga Jamalullail Perak sendiri di Perak untuk menentukan kesahihan maklumat. Keluarga besar Jamalullail negeri Perak menyimpan catatan dan cerita lisan mengenai sejarah Jamalullail di negeri Perak. Justeru itu merikalah yang lebih mengetahui mengenai perkara ini.
Dalam konteks ini perlu di ambil ingatan yang Jamalullail pertama di Perak, iaitu Syed Husain Al Faradz Jamalullail telah datang dari Hadramaut ke Perak pada awal abad 16 M. Rekod mengenai keturunan beliau tidak ada di Hadramaut kerana beliau tidak kembali ke Hadramaut selepas berhijrah ke negeri Perak. Dalam perjalanan ke Perak beliau mungkin singgah seketika di beberapa tempat di Nusantara tetapi catatan mengenai sejarah beliau mungkin tidak ada di tempat-tempat itu kerana beliau tidak menetap lama di sana. Beliau bermastautin di Perak dan di sinilah sejarah beliau dicatat. Beliau mati pada lingkungan tahun 1580 di zaman pemerintahan sultan Perak ke-3, Sultan Ahmad Tajuddin Shah (1577 – 1584) dan dimakamkan di Perak.
Empat pasang nesan dalam Makam diRaja Teluk Bakung, Parit, Perak. Nesan No.3 dari kanan kepunyaan Syed (Sharif) Husain guru kepada Sultan Muzaffar Shah I, Perak. Nesan Sultan Muzaffar Shah I bertanda No.2 dalam gambar.
Adakah dokumen/salasilah lama yang menjadi rujukan oleh pengkaji boleh dilihat oleh semua, atau adakah ia “dokumen/salasilah rahsia” yang ditulis dan disimpan oleh pihak-pihak tertentu, yang tidak boleh di audit atau dikaji secara ilmiah oleh pihak ketiga? Sekiranya ia bersifat rahsia maka adalah sukar untuk menerimanya sebagai bukti sejarah.
ii) Cerita lisan.
Cerita lisan (oral tradition), terutama mengenai nasab dan salasilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi merupakan satu sumber maklumat, walaupun selalunya dianggap sebagai sumber sejarah yang lemah dari segi akademik. Tetapi di dunia Melayu di negeri Perak ia merupakan sumber maklumat yang penting terutama bagi kisah-kisah yang tidak dicatatkan secara bertulis dimana-mana.
Keluarga Jamalullail telah berada di negeri Perak ini hampir 500 tahun, sejak zaman sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549).
Di kalangan keluarga Jamalullail di negeri Perak cerita-cerita lisan mengenai salasilah Jamalullail Perak merupakan satu tradisi yang diamalkan turun temurun. Kebanyakan salasilah ini tidak di catat secara resmi dalam bentuk penerbitan tercetak, tetapi di simpan secara hafalan. Ada juga salasilah yang disimpan dalam bentuk tulisan tangan atas kertas-kertas tetapi dokumen-dokumen ini banyak mengalami kerosakan kerana tidak di pulihara.
Dalam konteks cerita lisan tempoh masa kebelakang yang dianggap munasabah ialah lima generasi atau dalam lingkungan 150 – 175 tahun. Cerita-cerita yang lebih lama dari itu masih boleh diterima, tetapi memerlukan tapisan yang lebih terperinci. Misalnya, seorang pencatat (Generasi 1) salasilah itu boleh bertemu secara langsung dan mendapat maklumat dari datuknya (Generasi 3) sendiri, dan datuknya pula menceritakan maklumat yang beliau perolehi dari datuknya (Generasi 5) yang hidup semasa dengannya.
Cerita-cerita yang lebih lama masih boleh diterima tetapi perlu dibuat dengan lebih berhati, kerana cerita yang diperturunkan terkadang telah mengalami banyak perubahan dan mungkin masuk ke alam lagenda.